Isnin, 27 Disember 2010

Hujah Mengenai As Sunnah

Al-Sunnah dari segi bahasa ertinya jalan, adat atau kebiasaan. Sunnah seseorang ialah adat atau kebiasaan atau apa yang biasa ia lakukan, sama ada baik atau buruk. Didalam surah Al-Nisa, ayat 26, Allah swt berfirman:

“Allah hendak menerangkan kepadamu dan menunjukkan kepadamu jalan-jalan orang-orang yang sebelum kamu, dan hendak menerima taubatmu. Dan Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana.”.

Mengikut istilah fuqaha, al-sunnah sama dengan al-mandub, iaitu amal perbuatan yang diberi pahala bagi orang yang melakukannya dan tidak berdosa atas orang yang meninggalkannya. Adapun mengikut istilah para usuliyyin, al-sunnah ialah segala yang lahir atau berupa perkataan, perbuatan atau taqrir, iaitu penetapan, pengakuan atau pengesahan terhadap perbuatan yang dilakukan oleh para sahabat atau salah seorang daripada mereka.

Hujjat Al-Sunnah


Daripada definisi hukum itu sendiri sudah jelas bahawa yang menetapkan hukum adalah Allah swt, tidak ada hakim selain daripadaNya. Erti hujat yang sebenarnya adalah penzahiran, penyingkapan atau penunujukkan. Makka hujjat al-sunnah disini ialah keadaan al-sunnah sebagai menzahirkan hukum Alah swt atau sebagai dalil atau penunjuk keatas hukum Allah swt tersebut.

Jika kita mengetahui atau menyangka kewujudan hukum Allah dengan perantaraan al-sunnah, maka wajiblah kita beramal dengannya. Dengan kata-kata lain, al-sunnah merupakan sumber hukum yang dengannya kita mengetahui hukum Allah swt, dan kerananya ia mesti dijadikan pegangan.

Kedudukan Al-Sunnah berbanding Al-Quran


Al-sunnah adalah wahyu daripada Allah swt, seperti halnya dengan Al-Quran. Hanya Al-Quran mempunyai banyak keistimewaan kerana Al-Quran adalah wahyu yang matlu, yang lafaz dan maknanya daripada Allah swt, yang membacanya sahaja sudah dijadikan sebagai ibadat, yang lafaz dan kandungannya dijadikan sebagai mukjiat yang membuktikan kerasulan Muhammad saw. Al-sunnah, hanya maknanya sahaja daripada Allah swt, sedang lafaznya daripada Nabi saw sendiri.

Adapun dari segi kehujjaan, martabat al-sunnah sama dengan martabat Al-Quran, kerana kedua-duanya adalah sama, iaitu wahyu daripada Allah swt. Kelebihan Al-Quran dalam perkara-perkara yang disebutkan, tidak berkait dengan masalah kehujjahan, kerana seandainya Al-Quran tidak mempunyai kelebihan-kelebihan tersebut, maka ia tetap merupakan hujjah selama ia merupakan wahyu daripada Allah swt, seperti halnya dengan kitab-kitab samawi terdahulu.

Pembahagian Al-Sunnah


Al-sunnah dapat dibahagikan kepada beberapa pembahagian iaitu:

- Pembahagian Al-Sunnah dengan melihat zatnya: Dengan melihat kepada zatnya, sebagaimana kita lihat daripada ta’rif al-sunnah mengikut istilah para usuliyyin, maka ia terbahagi kepada: Pertama: Al-Sunnah al-Qawliyyat, iaitu segala yang disabdakan oleh Rasulullah saw (ucapan-ucapan Nabi saw). Kedua: Al-sunnat al-fi’liyyat, segala perbuatan Rasulullah saw.

Al-Sunnah Al-Mutawatirah


Sunnah mutawatirah ialah yang jumlah periwayatnya daripada Rasulullah saw sedemikian ramainya sehingga, menurut kebiasaan, mereka tidak mungkin bersepakat untuk berdusta, mengingat banyaknya, kejujuran, dan juga perbezaan pandangna serta tempat masing-masing. Kemudian bilangan yang meriwayatkan hadith tersebut daripada mereka pun demikian juga pada masa tabi’in dan tabi’ al-tabi’in, kerana penaqalan atau penukilan selepasnya adalah melalui tadwin, seperti sunnah-sunnah fi’liyah tentang perbuatan salat, puasa, haji, adzan dan lain-lainnya yang merupakan syi’ar agama. Adapun dalam sunnah qaqliyah sedikit sekali yang mutawatir.

Sunnah Al-Ahad


Sunnah al-ahad atau juga disebut al-khabar al-wahid ialah yang jumlah periwayatnya pada tiga masa pertama: satu, dua atau lebih tetapi tidak mencapai bilangan mutawatir. Di antara al-sunnah, ada yang pada permulaannya ahad, yakni jumlah periwayatnya daripada sahabat satu, dua atau lebih tetapi tidak mencapi bilangan mutawatir, tetapi kemudiannya, yakni pada zaman tabi’in dan tabi’I al-tabi’in, jumlah periwayatnya mencapai bilangan mutawatir. Sunnah yang demikian, menurut istilah Hanafiah dinamakan al-sunnah al-masyhurah.

Al-Hadith Al-Sahih


Iaitu yang sanadnya bersambung daripada permulaan sampai kepada akhirnya atau pentadwinnya, periwayat-periwayatnya bersifat adil, teliti dalam periwayatannya dan tidak dapat keganjilan atau ‘illah dalam kandungannya yang boleh memburukkan nilai hadith. Dengan kata-kata lain, hadith sahih adalah hadith yang memenuhi semua syarat-syarat beramal.

Al-Hadith Al-Hassan


Iaitu yang sanadnya bersambung dan para periwayatnya adil, tetapi ada yang kurang ketelitiannya, dan tidak mengandungi sebarang keganjilan atau illat pada kandungannya. Hadith hasan boleh dijadikan hujjah.

Al-Hadith Al-Da’if


Iaitu yang kurang daripada tingkatan hasa. Hadith da’if ini banyak macamnya dan berbeza-beza tingkat kelemahannya, mengikut jauh atau dekatnya kepada syarat-syarat hadith sahih, di antaranya hadith mursal, hadith munqati, hadith mu’dal, hadith mu’allaq, hadith ma’lul dan lain-lainnya.

Hadith Palsu (Mawdu’)


Hadith mawdu’ adalah hadith yang pasti dustanya dan tidak ada kemungkinan daripada Nabi saw.

Ciri-ciri Hadith Palsu


Di antara ciri-ciri hadith palsu ialah:

- Jika terdapat salah seorang periwayatnya mendakwakan bahawa ia mendengar hadtih tersebut daripada seseorang yant telah wafat sebelum ia sendiri dilahirkan, seperti yang didakwakan oleh Ma’mun Bin Ahmad al-harawi bahawa ia telah mendengar daripada Hisyam Bin ‘Ammar. Maka Ibnu Hibban berkata kepadanya bahawa Hisyam yang anda mendakwakan telah meriwatkan hadith daripadanya telah wafat tahun 245 Hijrah.

- Apabila ia bercanggah dengan nas Al-Quran yang jelas maknanya, yang tidak menerima penasakhan atau penta’wilan dan juga tidak boleh dihimpun di antara keduanya.

- Apabila bercanggah dengan hadith yang mutawatir.

- Apabila periwayat yang meriwayatkan hadith itu sendiri mengakui bahawa ia telah berdusta padanya.


Allahu A'alam Bis Sowab

Tiada ulasan:

Catat Ulasan