Selasa, 30 November 2010

Pengertian Iman

Iman disisi bahasa arab bermaksud membenarkan atau mempercayai sesuatu khabar dan disebut oleh pakar bahasa Ibn Manzur sebagai membenarkan dan lawannya ialah mendustakan (lihat dalam Kitab لسان العرب m/s 223 Jilid 1).

Bagaimanapun maksud iman yang hakiki tidak hanya bermakna “Membenarkan” sebaliknya seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Jauzi Al-Bagdadi ra (meninggal 597 Hijrah) bahawa iman di dalam Al-Qur’an itu pernah disebut dan didatangkan dalam lima bentuk iaitu :

Pertama : Kepercayaan : iaitu mempercayai dan membenarkan apa yang didatangkan oleh Allah swt seperti di dalam ayat 17 Surah Yusof وَمَا أَنْتَ بِمُؤْمِنٍ لَنَا وَلَوْ كُنَّا صَادِقِينَ)) “Dan tidaklah kamu akan mempercayai kepada kami sekalipun kami ini benar”. Di dalam ayat di atas digunakan kalimah sodiqin yang bermaksud hubungan iman itu ialah mesti dicapai dengan kepercayaan yang terhasil apabila membenarkan apa yang disampaikan.

Kedua : Iqrar dan pengakuan dengan lisan tetapi tidak membenarkan dengan hati, Ketiga : At-Tauhid, Ke-empat :Syariah, Kelima :As-Solat.

Lihat keterangan lanjut di dalam kitab نزهة الأعين النواظر في علم الوجوه والنظائر m/s 145-147 Cetakan Beirut.

Al-Imam Ibn taimiyyah ra menyebutkan juga masalah ini bahawa iman itu tidaklah hanya bermaksud membenarkan seperti kebanyakkan sangkaan orang ramai kerana tidak dikatakan kepada seluruh perkara yang dibenarkan seperti khabar berita dan lain-lain yang disampaikan oleh seseorang itu dengan diberi jawapan أمنت “aku beriman” sebaliknya digunakan kalimah صدقت iaitu “aku membenarkan atau aku mempercayainya”. Ini disebabkan penggunaan jawapan aku membenarkan seringkali berlaku kepada perkara keduniaan dan urusan harian.

Adapun “keimanan” berlaku kepada perkara ghaib dan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar maka dari situlah ucapan aku beriman digunakan sebagai ganti aku membenarkan. Berkata lagi Syeikhul Islam Ibn taimiyyah bahawa iman itu ialah darjah keyakinan dan kepercayaan yang bermula di hati dengan mencapai ketenangan dan jauh dari keraguan serta darinya membenarkan seluruh apa yang didatangkan oleh Allah swt dan ditunaikan dengan ketaatan.

Kemudiannya kalimah iman itu juga hanya digunakan dalam perkara yang ghaib dan bersangkut soal-soal yang datang dari Allah swt. Iman pula memiliki ciri-ciri makna yang lebih khusus dari sekadar “tasdiq” membenarkan, iaitu iman membawa makna perkhabaran yang iltizam (pasti) dan keyakinan yang tidak tergugat serta jauh dari syak dan ragu-ragu.

Kalimah “tasdiq” membenarkan digunakan kepada sesuatu yang lebih umum dan hanya kepada zahir hal seperti dikatakan aku mempercayaimu dan aku membenarkan berita yang disampaikan lalu hanya sekadar itu.

Maka iman pula sebaliknya tidak boleh diterjemah demikian kerana, kalimah iman yang lawannya kufur ialah sesuatu yang tidak hanya membenarkan sebaliknya mengandungi keyakinan, ketegasan kepada janji dan berita khabar yang pasti lalu membawa kepada ketaatan dan perlakukan balas dari keyakinan yang dimiliki.

Hal ini tercerna dalam pelbagai dalil dari kitab dan sunnah misalnya :

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati." Allah berfirman: "Belum berimankah kamu ?" Ibrahim menjawab: "Aku telah mengimaninya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: "(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): "Lalu letakkan diatas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan segera." dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al-Baqarah : 260).
Pendapat yang mengatakan burung-burung itu dicincang diatas adalah menurut pegangan At-Thabari dan Ibnu Katsir, sedang menurut Abu Muslim Al Ashfahani dan lain-lain ahli- takwil aqli pengertian ayat diatas bahawa Allah memberi penjelasan kepada Nabi Ibrahim a.s. tentang cara Dia menghidupkan orang-orang yang mati. Disuruh-Nya Nabi Ibrahim a.s. mengambil empat ekor burung lalu memeliharanya dan menjinakkannya hingga burung itu dapat datang seketika, bilamana dipanggil. Kemudian, burung-burung yang sudah pandai itu, diletakkan di atas tiap-tiap bukit seekor, lalu burung-burung itu dipanggil dengan satu tepukan/seruan, nescaya burung-burung itu akan datang dengan segera, walaupun tempatnya terpisah-pisah dan berjauhan. Maka demikian pula Allah menghidupkan orang-orang yang mati yang tersebar di mana-mana, dengan satu kalimat cipta hiduplah kamu semua pastilah mereka itu hidup kembali. Jadi menurut Abu Muslim sighat amr (bentuk kata perintah) dalam ayat ini, pengertiannya khabar (bentuk berita) sebagai cara penjelasan. Pendapat beliau ini kemudian dipegang pula oleh Ar Razy dan Rasyid Ridha. Wallahualam

Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa iman itu mempunyai pelbagai tahap kedudukan dan Nabi Ibrahim as telah membenarkan tetapi tidak mencapai tahap ketenangan dan keyakinan hati serta belum muthma’inah sehingga memaksanya memohon kepada Allah swt agar ditunjukkan kepada baginda akan kekuasaan Allah swt sehingga beroleh baginya keyakinan dan keteguhan iman.

Iman itu mengandungi makna iqrar (pengakuan), juga pembenaran (tasdiq) serta kepercayaan yang mencapai darjah keyakinan sehingga dengannya disebut wajib ditunaikan dengan hati, lisan dan amalan perbuatan. Lalu sekiranya mahu disebut iman itu dengan perkataan tasdiq maka haruslah diperluaskan makna tasdiq (pembenaran) itu tidak hanya dengan menyebut tasdiq pada hati, lisan dan amalan perbuatan sebaliknya mesti ditegaskan dengan iqrar, keyakinan yang membawa kepada ketaatan (yang disebut al-inqiyad).

Allah swt menyebutkan kalimah iman di dalam Al-Qur’an tidaklah dengan mutlak sebaliknya seringkali mengikatnya dengan sesuatu atau menafsirkannya seperti mengikat kalimah iman dengan perkara ghaib dan perintah atau menafsirkannya dengan tuntutan keimanan dan rukun-rukunnya serta cri-ciri mereka yang beriman.

“(Iaitu) mereka yang beriman, kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” (Al-Baqarah : 3).

Demikian ayat di atas menyebutkan Iman itu ialah kepercayaan yang teguh yang disertai dengan ketundukan dan penyerahan jiwa. Tanda-tanda adanya iman ialah mengerjakan apa yang dikehendaki oleh iman itu. Juga ada kalanya ditafsirkan ciri-ciri pemilik iman itu seperti firman Allah :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka Itulah orang-orang yang benar.” (Al-hujurat : 15).

Dimaksudkan dengan golongan yang benar itu ialah mereka yang benar iman mereka disisi Allah swt dan memenuhi ciri-ciri iman di dalam ayat ini yang menjelaskan bagaimanakah sifat dan ciri mereka yang beriman iaitu dengan menunaikan perintah Allah swt setelah menyakini segala kebenaran apa yang diturunkan oleh Allah swt yang lalu mengerjakan segala tuntutan dan perintah yang dituntut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan